siri kilast #011 - Bangunan yang tinggi lagi meninggikan

Bangunan yang tinggi lagi meninggikan

Kilast yang baru baru ini ditemui dalam keadaan compang camping ibarat fakir miskin yang menghinakan dirinya sendiri, sedang berdiri dihadapan bangunan yang tinggi ke langit. Ada 73 tingkat semuanya. Dilihat dari mata kasar Kilast, adapun kelihatan satu tingkat itu tingginya jua 73 tingkat, maka punyalah tinggi 73 x 73 ketinggian, - hanya maha pencipta sahajalah yang tahu.

Dan Kilast pun berjalan masuk kedalam bangunan yang berubah - rubah kadang bercahaya kadang bergelita : adakah kerana dari mata pandangan Kilast ataupun sememangnya perubahan - perubahan ini mutlak bagi semua pandangan mata?

Di dalam.

Kosong. Dan kosong. Cuma ada lif. Bewarna - tidak, kecuali putih salji. Cahaya terang. Cahaya malap. Gelap. Cerah. Silih ganti berganti.

Dan Kilast menghampiri bingung ke lif yang tertulis - hanya ke atas.

Kilast masuk apabila pintu lif ternganga. Ibarat lapar? Haus? Perasaan lif seperti perasaan Kilast yang berdiri. Kilast masuk. Diam. Dan memandang pada butang butang yang bernombor 1. Dan pelik, semuanya bernombor 1.

Kilast hanya meneka, hanya menekan yang mana - mana kerana semuanya sama.

Dan lif bergerak ke atas.

tingkat 1…..

tingkat 1….

tingkat 1….

dan seterusnya itulah. tingkat 1.

Hingga sampai ke atas…. masih lagi tingkat 1. Seraya pintu pun terbuka. Kilast melangkah keluar. Meninjau.

Kilast sedikit marah. Rupanya seakan lif tidak bergerak langsung kerana Kilast masih lagi berada di tingkat yang sama.

Sama ada lif rosak, atau bangunan ini memang rosak lagi merosakkan, ataupun otak Kilast sebenarnya yang rosak - hanya maha pencipta yang mempunyai jawapan.

Kilast berjalan untuk keluar. Keluar dari kerosakan bangunan yang mempermainkan fikirannya. Bangunan yang penuh helah dan tipu daya.

Dan menghampiri pintu exit baru Kilast terperasan pada tingkap tingkap yang luarnya ada awan… Kilast cergas ke tingkap dan merenung keluar hampir terkejut!

Kilast melihat: Burung berterbangan, awan berarak. Kapal terbang, sorry nope. Tidak ada.

Rupanya Kilast sudah ke tingkat atas! Lif tidak rosak dan barangkali betullah pemikiran Kilast yang rosak!

Kebingungan Kilast menjenguk kebawah, sayup melihat tanah. Gayat kerana tinggi. Pening - pening lalat dan Kilast ter-rebah kelantai.

Kilast baring. Sepi. Sunyi.

Matanya pejam. Gelap. Khayal. Terasa melayang.

Kilast diam.

Diam dan diam dan diam dan diam.

Diam, senyap di tingkat 1 itu.

Di bangunan yang tinggi, lagi meninggikan itu.

…..

Leave a Reply