Diatas Normal
Suatu hari aku berjalan ke daerah kelam. Daerah ini membunyikan nasib nasib. Ada yang malang. Ada yang senang. Ada yang geram. Ada yang tenang.
Maka hari itu aku duduk diam. Datang kepadaku seorang manusia yang aku lihat pada wajahnya seribu gelora. Dia duduk disebelahku kaku.
Aku merasakan sesuatu yang tidak selesai. Di wajahnya aku lihat ada bulu bulu tebal yang berserabut. Tidak terurai. Kalut. Bersimpul. Kusut.
Aku tanya kepadanya. Wahai manusia, apakah yang membuatkan kau belayar tanpa hala tuju? Dia berkata kepadaku. Dendam.
Dendam hidupnya. Pada empunya kuasa. Pada yang menentukan jalannya.
Aku diam. Aku bersedih atas jawapan itu. Aku menarik nafas, maka aku hulurkan tangan dan aku memegang langit tertinggi dirinya.
Perlahan - lahan aku membuka ikatan.
Perlahan - lahan aku meleraikan kekusutan keadaan.
Apakah kau fikir, tuhan itu kedekut?
Apakah kau fikir, tuhan itu garang?
Apakah kau fikir, tuhan itu sengaja menyusahkan hidup kau?
Apakah kau fikir tuhan itu kejam?
Aku lihat pada wajahnya timbul sebuah bintang kecil yang mengelip - ngelip. Agaknya bintang di syurga nyanyian Peterpan. Namun aku lega dan tersenyum sendirian. Walaupun bintang ini bukanlah matahari yang bersinar, sekurang - kurangnya satu titik cahaya telah timbul dan kapal hidupnya kini punya arah.
Di kakinya aku lihat tali pengikat alas sudah dikemaskan. Dia yang sebelum ini datang merangkak kepada ku sudah mula berdiri perlahan. Ditanya kepadaku, kemanakah arah yang harus dituju?
Selatan? Timur? Barat? Utara?
Aku memerhati penuh belas. Lantas aku jawab,
“kemana pun kau hadap wajahmu, kau hadapkan ke arahNya, kerana segala isi bumi isi langit ini kepunyaanNya”
Malam terus berlalu…. sebuah suara lahir dan berbunyi - bunyi Diatas Normal.
***